Jumaat, 12 Oktober 2018 | 7:29am
NICKOLAY Mladenov. - Foto AFP

PLO tidak iktiraf wakil damai PBB

RAMALLAH: Kepimpinan Palestin tidak lagi bekerja dengan wakil damai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kata seorang pegawai kanan semalam, menuduhnya melampaui peranan dengan mendapatkan perjanjian antara Israel dan pergerakan Islam Hamas.

Seorang anggota jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Ahmed Majdalani berkata, ia sudah memaklumkan Setiausaha Agung PBB, wakil berkenaan, Nickolay Mladenov ‘tidak lagi diterima’ oleh kerajaan Palestin.

Katanya, Mladenov ‘melampaui peranan beliau’ dengan mendapatkan perjanjian antara Israel dan lawan Palestin iaitu Hamas, yang mengawal Gaza, menambah tindakannya menjejaskan ‘keselamatan Palestin dan penyatuan rakyat.’

Tiada ulasan segera daripada Mladenov atau pengesahan daripada PBB.

“Selepas Palestin berkata tidak kepada Israel dan tidak kepada Amerika, mereka kini mengatakan tidak kepada PBB.

“Dalam keputusan ini, Abu Mazen (Presiden Palestin Mahmoud Abbas) terus mengetuai Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk pengasingan antarabangsa yang pada akhirnya menjejaskan rakyat Palestin sendiri,” kata Duta Israel ke PBB, Danny Danon dalam satu kenyataan.

Mladenov, bersama Mesir, berusaha mendapatkan perjanjian damai jangka panjang antara Hamas dan negara Yahudi itu, tanpa memasukkan kerajaan Abbas dalam rundingan tidak langsung berkenaan.

Rundingan itu terhenti, sebahagiannya disebabkan tekanan daripada Abbas, namun Selasa lalu, satu perjanjian kecil dibantu PBB, dicapai supaya Qatar membiayai penghantaran minyak amat diperlukan ke Gaza selama enam bulan.

Kerajaan Abbas tidak terbabit dalam perjanjian itu dan strategi Mladenov menaikkan kemarahan ahli politik Palestin.

PA yang diketuai Abbas, mempunyai hak semi-autonomi di sebahagian jajahan Tebing Barat namun hilang kawalan di Gaza kepada Hamas dalam perang saudara 2007.

Masyarakat antarabangsa sejak itu bekerja dengan PA. PLO mengiktiraf Israel dan menandatangani beberapa siri perjanjian damai sementara Hamas berjuang tiga peperangan dengan negara Yahudi itu sejak 2008. -AFP

220 dibaca
Berita Harian X