Khamis, 11 Oktober 2018 | 10:38pm
PEMIMPIN baharu Pakistan, Imran Khan. - Foto fail Reuters

Masalah hutang, Pakistan boleh ikut Malaysia atau jadi Sri Lanka

NEW YORK: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak dapat menyelesaikan masalah hutang Pakistan. Dalam menangani hutang luarnya yang semakin meningkat, Pakistan hanya mempunyai beberapa pilihan.

Salah satunya adalah dengan membatalkan projek China sebagai dilakukan Malaysia, Ogos lalu. Satu lagi pilihan adalah dengan membenarkan China menukar hutang kepada ekuiti seperti Sri Lanka, Julai lalu.

Pemimpin baharu Pakistan, Imran Khan mewarisi beberapa masalah daripada kepimpinan terdahulu. Salah satunya adalah hutang asing daripada China untuk membiayai projek China–Pakistan Economic Corridor (CPEC).

Ia adalah koleksi projek infrastruktur yang dibina syarikat pembinaan China di seluruh Pakistan.

Hutang luar negara Pakistan melonjak kepada AS$95 bilion (RM395.53 bilion) pada suku kedua 2018 daripada AS$91 bilion (RM378.88 bilion) pada suku pertama 2018. Ia adalah paras tertinggi dan jauh berbanding paras purata AS$54 bilion (RM224.83 bilion) sepanjang tempoh 2002 hingga 2018.

Lonjakan hutang Pakistan berlaku, ketika negara itu berbelanja di luar kemampuannya. Pakistan merekodkan defisit Akaun Semasa sebanyak 8.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) pada 2018. Ia adalah paras tertinggi dan jauh di atas purata -2.60 peratus bagi tempoh 1980 hingga 2018.

Dalam pada itu, Rizab Tukaran Mata Wang Asing Pakistan susut kepada AS$16.3 bilion (RM67.87 bilion), Ogos lalu menurun berbanding AS$16.8 bilion (RM69.95 bilion) pada Julai 2018. Ia sedikit di bawah paras purata AS$16 bilion untuk tempoh 1998 hingga 2018.

Peningkatan hutang asing, ketika defisit akaun semasa meningkat dan penyusutan rizab mata wang asing menjadikan Pakistan terpaksa bergantung kepada pengaliran modal asing. Khan tiada pilihan lain tetapi meminta bantuan IMF yang dikawal Washington.

Walaupun IMF mungkin dapat meredakan masalah Pakistan, ia tidak dapat menyelesaikan masalah negara itu selagi Islamabad meneruskan pembinaan CPEC.

Justeru, Imran Khan mempunyai dua pilihan. Satu dengan membatalkan projek China untuk menjimatkan dana sebagai mana dilakukan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, Ogos lalu. Beliau membatalkan dua projek infrastruktur besar oleh syarikat China yang membebankan hutang asing Malaysia.

Pilihan lain bagi Khan adalah menstruktur semula hutang negara itu dengan China, mungkin dengan menukar hutang kepada ekuiti menerusi penyerahan milikan CPEC kepada Beijing.

Ia adalah model yang digunakan China dalam penstrukturan semula hutang Sri Lanka dengan menyerahkan pelabuhan Hambantota kepada China selama 99 tahun. Ia dilakukan menerusi perjanjian yang dimeterai, tahun lalu.

Ia memberikan China Merchants Ports Holdings iaitu syarikat kerajaan China kepentingan 70 peratus dalam pelabuhan Lautan Hindi yang penting itu.

Seperti kes CPEC, perluasan pelabuhan Hambantota bermula dengan hutang daripada China. Namun, apabila Sri Lanka tidak boleh membayar hutang, Beijing menukar hutang terbabit kepada ekuiti atau mengubah Sri Lanka kepada negara dijajah separa dengan cara lebih lembut.

Ia juga akan berlaku kepada Pakistan apabila China mengambil alih CPEC dan boleh mengutip tol daripada semua kenderaan yang melaluinya.

Jelas, Imran Khan terpaksa membuat keputusan sukar. - Agensi/ Forbes

3352 dibaca
Berita Harian X