Khamis, 11 Oktober 2018 | 8:11pm
PEMILIK loji nuklear Fukushima yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami, lebih tujuh tahun lalu. - Foto Reuters

Pemilik loji nuklear mohon maaf, air masih tercemar

TOKYO: Pemilik loji nuklear Fukushima yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami, lebih tujuh tahun lalu berkata, air yang dirawat di kawasan itu masih mempunyai bahan radioaktif, selepas bertahun ia menegaskan pencemaran terbabit sudah dibersihkan.

Pengakuan syarikat Tokyo Electric Power (Tepco) mungkin memusnahkan peluangnya melepaskan air itu ke laut. Tindakan itu, menurut pengawal selia nuklear, selamat, namun dibantah nelayan tempatan.

Tokyo menang pembidaan untuk menganjurkan Sukan Olimpik Musim Panas 2020, lebih lima tahun lalu dengan Perdana Menteri Shinzo Abe mengisytiharkan Fukushima ‘terkawal’ dalam usaha terakhir beliau meyakinkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Hampir sejuta tan air disimpan di loji rosak itu, ia cukup untuk memenuhi 500 kolam renang saiz Olimpik, namun masih mengandungi bahan radioaktif mungkin berbahaya pada tahap boleh dikesan, kata Tepco kepada jawatankuasa kerajaan, 1 Oktober lalu.

Tepco memohon maaf kepada jawatankuasa di bawah Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri itu yang sedang mencari jalan untuk membuang air terbabit. Jurucakap Tepco mengesahkan penemuan dan permohonan maaf itu.

Gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011 ‘mencairkan’ enam reaktor loji nuklear Fukushima Daiichi pada Mac 2011 sehingga menyebabkan radiasi tersebar ke udara, tanah dan laut.

Ia memaksa 160,000 penduduk melarikan diri dengan ramai daripada mereka masih tidak pulang. Ia adalah bencana nuklear terburuk dunia, sejak Chernobyl, 25 tahun lalu. - Reuters

407 dibaca
Berita Harian X