Khamis, 11 Oktober 2018 | 8:06pm
LARA Alqasem - Foto EPA

Pelajar AS heret Israel ke mahkamah

TEL AVIV: Seorang pelajar Amerika Syarikat (AS) yang dilarang daripada masuk ke Israel kerana menyokong boikot pro Palestin terhadap negara Zionis itu tampil di mahkamah, hari ini untuk mencabar keputusan terbabit.

Ia adalah kes terbaharu terhadap undang-undang Israel yang melarang penyokong boikot dan pengkritik menyifatkan larangan itu bertentangan dengan hak kebebasan bersuara.

Pihak berkuasa Israel juga dalam tekanan, sejak beberapa bulan lalu mengenai soal siasat ‘bermotifkan politik’ terhadap warga asing tertentu yang mahu masuk ke negara itu.

Lara Alqasem, 22, tiba di lapangan terbang Ben-Gurion, Israel pada 2 Oktober lalu untuk menjalani pengajian peringkat sarjana di Universiti Hebrew Baitulmaqdis, namun beliau tidak dibenarkan masuk.

Beliau ditahan di kemudahan imigresen dengan memilih untuk mencabar larangan kemasukan itu daripada balik ke AS.

Pada Mac 2017, parlimen Israel meluluskan undang-undang melarang kemasukan penyokong pergerakan boikot, menarik balik pelaburan dan pemulauan pro Palestin (BDS) hasil inspirasi langkah terhadap Afrika Selatan, sebelum kejatuhan apartheid.

Alqasem adalah keturunan Palestin, beliau juga presiden kepada kumpulan Pelajar untuk Keadilan di Palestin, ketika menjalani pengajian di Universiti Florida. Kumpulan itu menyokong kempen boikot menentang Israel.

Alqasem dilaporkan berkata, sejak itu, beliau menjauhkan diri daripada pergerakan dan penyokong terbabit untuk menunjukkan kerelaan beliau masuk ke Israel bagi menyambung pengajian.

Media Israel memetik ibu beliau, Karen Alqasem sebagai berkata, beliau mendaftar untuk kursus sarjana hak asasi di Universiti Hebrew selama setahun dan sudah mempunyai visa Israel.

Universiti itu sudah menghubungi pihak berkuasa supaya membenarkan beliau masuk, sementara beberapa profesor beliau dari Universiti Florida turut memberikan sokongan.

“Beliau adalah pelajar menakjubkan, mempunyai sifat ingin tahu dan minda terbuka.

“Beliau juga amat menginginkan pengajian hubungan di Israel untuk merumuskan pendapat sendiri berhubung konflik itu,” kata Profesor bahasa dan budaya Yahudi, Dror Abend-David.

Abend-David pernah mengajar Alqasem di Florida dan berkata sedemikian dalam surat kepada akhbar Israel, Haaretz. - AFP

1894 dibaca
Berita Harian X