Khamis, 11 Oktober 2018 | 3:06pm
PRESIDEN Turki, Tayyip Erdogan. - Foto EPA

Perjanjian AS, Turki mengenai Manbij 'belum berkubur'

ISTANBUL: Perjanjian di antara Turki dan Amerika Syarikat (AS) mengenai pendekatan kawalan keselamatan di bandar Manbij, Syria, belum berkubur.

Presiden Turki, Tayyip Erdogan, sebaliknya berkata, pelaksanaan perjanjian itu sebenarnya telah ditunda, lapor akhbar Hurriyet, hari ini.

Turki dan AS mencapai perjanjian pada Mei lalu mengenai Manbij selepas gagal mencapai kata sepakat selama berbulan-bulan sebelumnya.

Di bawah perjanjian itu, militia YPG Kurdis akan berundur dari Manbij dan kawalan keselamatan bagi menstabilkan keadaan diambil alih askar Turki dan AS.

Erdogan memberitahu wartawan kelmarin ketika dalam perjalanan pulang dari lawatannya ke Hungary bahawa pelaksanaan perjanjian itu telah ditangguhkan.

“Perkara itu ditangguhkan tetapi ia bukan terkubur. Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan Setiausaha Pertahanan AS, James Mattis berkata mereka akan ambil langkah konkrit,” kata Erdogan yang dipetik oleh Hurriyet.

Negara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu sebelum ini menggunakan pendekatan menyelaras rondaan di rantau terbabit sebagai sebahagian perjanjian.

Selasa lalu, Menteri Pertahanan Turki, Hulusi Akar dipetik agensi berita Anadolu sebagai berkata bahawa latihan bersama askar Turki dan AS bagi melakukan rondaan di Manbij telah bermula.

Sokongan Washington kepada militia YPG bagi menentang Daesh telah mencetuskan kemarahan Ankara yang menganggap YPG sebagai mempunyai jalinan hubungan dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan. - Reuters

166 dibaca
Berita Harian X