Khamis, 11 Oktober 2018 | 2:35pm
- Foto Hiasan

300,000 dipindahkan siklon Titli badai timur India

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 300,000 ribu orang terpaksa dipindahkan daripada kawasan rendah, apabila siklon membawa angin selaju 125 kilometer sejam dan hujan lebat melanda timur India, hari ini, lapor media tempatan.

Agensi berita Press Trust of India (PTI) melaporkan, Siklon Titli, yang bertukar menjadi ‘ribut siklonik yang sangat dahsyat’ di Teluk Bengal, melanda kawasan Gopalpur di pantai timur India

Kerajaan negeri Odisha memindahkan lebih daripada 300,000 orang daripada lima daerah pesisir pantai semalam, sementara sekolah tempatan, kolej dan pusat jagaan kanak-kanak diarahkan tutup. Nelayan juga diarahkan agar tidak turun ke laut.

“Kami sudah memindahkan lebih 300,000 orang dan dijangka lebih ramai akan dipindahkan ke tempat yang lebih selamat daripada ancaman siklon yang lebih teruk,” kata Ketua Menteri Odisha, Naveen Patnaik seperti dilaporkan agensi PTI.

Pegawai kerajaan memberitahu PTI, setakat ini tidak ada kematian dilaporkan tetapi pokok dan tiang elektrik tumbang. Beberapa jalan raya dan rumah juga mengalami kerosakan. - AFP

142 dibaca
Berita Harian X