Sabtu, 15 September 2018 | 12:02am
Penduduk Palestin membantu rakan penunjuk perasaan yang cedera ditembak tentera Israel semasa demonstrasi di sepanjang sempadan Gaza. - Foto AFP

Remaja maut ditembak tentera Israel

BANDAR GAZA: Dua rakyat Palestin, termasuk seorang remaja berusia 14 tahun, mati ditembak tentera Israel dalam pertempuran di sempadan Gaza, semalam.

Kementerian Kesihatan wilayah yang dikuasai Hamas berkata, remaja yang dikenali sebagai Mustafa Abed Rabbo ditembak ketika berada di barat Jabalia, utara Gaza.

Seorang lagi rakyat Palestin yang identitinya masih belum disahkan, ditembak di kawasan berhampiran Khan Yunis, selatan Gaza.

“Sekurang-kurangnya 12 penduduk cedera, ketika rakyat Palestin mengadakan demonstrasi di beberapa lokasi di sepanjang sempadan,” kata kementerian itu.

Sementara itu, tentera Israel menganggarkan kira-kira 13,000 penduduk terbabit dalam ‘rusuhan’ di beberapa lokasi, dengan membakar tayar kenderaan dan melemparkan bom petrol. - AFP

261 dibaca
Berita Harian X