Jumaat, 14 September 2018 | 9:24pm

Ratusan pekerja binaan lapangan terbang Istanbul mogok

ISTANBUL: Pasukan keselamatan Turki melepaskan gas pemedih mata terhadap ratusan pekerja binaan di lapangan terbang baru Istanbul yang membantah keadaan kerja berbahaya di lokasi itu yang dijadualkan mula beroperasi bulan depan.

Menurut media tempatan, lapangan terbang itu adalah antara projek baru yang dilancarkan oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan untuk kota metropolis itu.

Lapangan yang terletak di Laut Hitam itu, mampu menampung sehingga 90 juta penumpang setahun, namun jumlah itu dijangka meningkat sehingga 150 juta menjelang 2023.

Sebagai langkah publisiti, pesawat Erdogan mendarat di situ pada Jun lalu, beberapa hari sebelum pilihan raya presiden.

Bagaimanapun, terdapat laporan mengenai jumlah kematian tinggi di lokasi pembinaan, apabila dilaporkan kira-kira 35,000 pekerja dikerah untuk menyiapkannya sebelum majlis perasmian pada hujung Oktober ini.

“Ratusan pekerja mogok memprotes keadaan kerja. Sekumpulan pekerja berhimpun hari ini, namun disuraikan menggunakan gas pemedih mata,” lapor agensi berita swasta DHA.

Pegawai kerajaan tidak mengulas kejadian itu. - AFP

276 dibaca
Berita Harian X