Khamis, 17 Mei 2018 | 9:55pm

'Ninja' setinggan lima bulan

TOKYO: Seorang lelaki Jepun digelar 'ninja moden' oleh media Jepun selepas berjaya menumpang rumah seorang wanita berusia 90 tahun selama lima bulan tanpa pengetahuan warga emas itu.

Perbuatan lelaki berusia 20 tahun itu hanya dikesan selepas anak lelaki wanita terbabit yang datang melawatnya terdengar bunyi pelik di bilik atas dan hasil pemeriksaan menemui lelaki terbabit sedang tidur.

Tanpa mengejutkan lelaki itu, dia turun bertanya ibunya tetapi wanita itu juga tidak mengenali penceroboh berkenaan menyebabkan dua beranak itu menelefon polis.

Dalam kejadian di Himeji, Hyogo, itu, lelaki berkenaan kemudian mengaku kepada polis dia tinggal di rumah wanita terbabit sejak Disember menyebabkannya digelar 'ninja moden' oleh media Jepun.

Dia enggan memberikan identiti sebenarnya, tetapi mengaku tinggal di rumah itu sejak 12 Disember 2017.

Wanita itu jarang naik ke tingkat atas disebabkan usianya dan tidak dapat mendengar apa-apa disebabkan masalah pendengaran.

Kisah itu mendapat pelbagai reaksi di media sosial Jepun dengan ramai yang menganggap penceroboh itu pasti dikesan lebih awal jika anak lelaki wanita itu lebih rajin melawatnya. - Daily Mail

1531 dibaca
Berita Harian X