Isnin, 16 April 2018 | 10:07pm
Bilik berita di ibu pejabat Al-Jazeera.

Tuntutan negara Teluk tutup Al-Jazeera dijangka digugurkan

DUBAI: Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir yang melaksanakan sekatan politik dan ekonomi terhadap Qatar dijangka menggugurkan tuntutan penutupan rangkaian media Al-Jazeera.

Dalam temu bual dengan akhbar The Times pada Rabu lalu, Menteri Majlis Persekutuan Nasional UAE, Noura al-Kaabi berkata, negara itu mahu perubahan besar dan penstrukturan semula Al-Jazeera berbanding penutupannya secara penuh.

"Kakitangan dalam saluran media ini boleh mengekalkan pekerjaan dan Qatar masih boleh menaja saluran televisyen yang tidak menyediakan platform untuk pengganas dengan saluran Inggeris menjadi pelindung berbanding saluran Arab yang lebih radikal.

"Kumpulan negara yang memulau, diketuai Arab Saudi bersedia untuk berunding dengan Qatar. Kami perlukan penyelesaian diplomatik. Kami tidak mahu memburukkan keadaan," kata Kaabi.

Sebelum ini, 13 tuntutan dikemukakan terhadap Qatar sebagai syarat untuk menghentikan sekatan termasuk memutuskan hubungan dengan kumpulan Ikhwanul Muslimin, Hezbollah, Al-Qaeda dan Daesh serta mengehadkan hubungan Qatar dan Iran serta mengusir tentera Turki di negara itu.

Bagaimanapun, susulan kesediaan berkompromi yang disuarakan menteri UAE itu, Al Jazeera Media Network memaklumkan ia menolak campur tangan luar.

"Al Jazeera Media Network menolak sebarang campur tangan luar terhadap struktur organisasi atau misi kewartawanannya serta mengulangi pendirian penyuntingan bebas dan profesional.

"Al-Jazeera akan terus berjuang bersama wartawan dan institusi media global untuk hak kewartawanan tanpa ketakutan atau ancaman. Salah satu aspek penting media bebas adalah kebolehan beroperasi secara bebas tanpa campur tangan atau tapisan kerajaan atau pihak lain.

"Sejak 20 tahun lalu, Al-Jazeera menunjukkan kebebasan penyuntingan dan enggan tunduk kepada ancaman daripada sesiapa, ia adalah bukti komitmen kami kepada nilai kewartawanan sejagat.

"Jelas cubaan terbaharu beberapa kerajaan di rantau ini atau di tempat lain untuk mengehadkan kebebasan media dikritik semua institusi media antarabangsa dengan gesaan segera supaya campur tangan dan ancaman dihentikan serta-merta," menurut kenyataan rangkaian media itu. - Agensi

285 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »