Isnin, 12 March 2018 | 8:28pm

Wartawan cedera, TV Tunisia ancam henti siar bola sepak

TUNIS: Saluran televisyen awam Tunisia, Wataniya, hari ini mengancam menghentikan siaran pertandingan bola sepak selepas dua wartawannya cedera ketika ketegangan hujung minggu lalu.

Peminat kelab utama, Etoile Sahel, semalam menyerang gerai media Wataniya, yang mendapat hak eksklusif menyiarkan pertandingan kejohanan Tunisia.

Peminat yang marah membaling batu dan benda lain, menyebabkan dua wartawan cedera ringan dan merosakkan gerai, selepas pasukan mereka kalah 1-0 dengan Club Africain.

Keganasan dicetuskan sepakan penalti yang dipertikaikan pada separuh masa kedua, kata jurucakap Wataniya, Elyes Jarraya.

Wataniya mengecam apa yang digelar sebagai kejadian terbaru dalam siri 'serangan terhadap staf dan peralatannya' dan menggesa langkah keselamatan melindungi wartawan.

Jika tidak, saluran itu terpaksa berhenti membuat liputan pertandingan yang tidak meramalkan perlindungan diperlukan.

Kesatuan wartawan Tunisia juga mengutuk keras keganasan itu dan menggesa Persekutuan Bola Sepak Tunisia mengambil langkah perlu memastikan perlindungan kepada wartawan. - AFP

201 dibaca
Berita Harian X