Rabu, 14 Februari 2018 | 11:21am
HARTAWAN Arab Saudi, Putera Al-Waleed bin Talal. -Foto Reuters

Putera Al-Waleed derma lebih RM2 juta kepada Al Hilal FC

RIYADH: Hartawan Arab Saudi, Putera Al-Waleed bin Talal yang dibebaskan daripada tahanan di sebuah hotel mewah di sini, baru-baru ini menderma sebanyak dua juta Saudi riyal (RM2.09 juta) kepada pasukan bola sepak, Al Hilal FC.

Sumbangan itu dibuat susulan permintaan kerajaan supaya beliau menyokong aktiviti sukan tempatan di negara itu.

Putera Al-Waleed adalah antara ratusan ahli perniagaan dan pegawai kanan kerajaan yang ditahan dalam operasi membanteras rasuah yang diketuai Putera Mahkota, Putera Mohammed bin Salman.

Dalam satu temubual dengan Reuters, iaitu beberapa jam sebelum pembebasannya, Putera Al-Waleed berkata, beliau akan terus mengekalkan penguasaan ke atas beberapa firma miliknya.

Malah, beliau menafikan dakwaan membuat sumbangan kepada kerajaan sebagai pertukaran kepada pembebasannya.

Bagaimanapun, pegawai kanan kerajaan Arab Saudi memaklumkan Reuters bahawa Putera Al-Waleed dibebaskan selepas mencapai persetujuan berhubung penyelesaian kewangan dengan peguam negara, namun maklumat lengkap mengenainya tidak didedahkan.

Terdahulu, Putera Al-Waleed memuat naik gambar beliau menyaksikan perlawanan bola sepak bersama keluarganya berserta mesej: "Memenuhi jemputan Turki Al-Sheikh untuk memberi sokongan kepada kelab Arab Saudi, saya menyerahkan sumbangan dua juta Saudi riyal bagi membiayai aktiviti Al Hilal FC".

Turki Al-Sheikh adalah Pengerusi Pihak Berkuasa Sukan Kebangsaan (GSA) Arab Saudi dan dilaporkan antara individu yang rapat dengan Putera Mahkota. - Reuters

830 dibaca
Berita Harian X