Selasa, 13 Februari 2018 | 7:11am
KEADAAN banjir di Apia selepas dilanda taufan Gita. - Foto AFP

Tonga terjejas akibat taufan Gita

WELLINGTON: Perkhidmatan kecemasan di Tonga bertungkus lumus membersih dan memperbaiki jalan raya dan laluan musnah selepas taufan Gita melanda negara yang terletak di kepulauan Pasifik itu, malam tadi.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada kematian dilaporkan akibat taufan kategori empat itu.

Namun, penasihat kerajaan Australia di Pejabat Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Tonga, Graham Kenna, berkata ramai penduduk dilaporkan cedera dan kebanyakannya adalah serius.

Operasi pembersihan akibat taufan Gita itu dilakukan dengan bantuan pihak tentera bermula seawal 1.30 pagi (waktu tempatan), ketika ia masih melanda ibu negara Tonga, Nuku'alofa.

"Jalan raya perlu dibersihkan terlebih dahulu supaya mudah bagi kami untuk menyalurkan bantuan perubatan kepada mereka yang memerlukan.

"Pada masa sama, ia akan memudahkan pasukan pemantau membuat penilaian di lokasi," kata Kenna kepada Reuters menerusi panggilan telefon.

Beliau menganggarkan kira-kira 40 peratus daripada kediaman di Nuku'alofa, yang mempunyai 24,500 penduduk musnah dalam kejadian itu.

Bekalan elektrik turut terputus selepas semua infrastruktur tenaga mengalami kerosakan dan ia menjejaskan sistem komunikasi di seluruh negara.

Taufan Gita kini dilaporkan sedang menuju ke bahagian selatan kepulauan Fiji. - Reuters

376 dibaca
Berita Harian X