Isnin, 12 Februari 2018 | 8:17am
PASUKAN hoki wanita gabungan Korea Selatan dan Korea Utara. - Foto AFP

Pasukan hoki wanita Korea calon Hadiah Nobel

PYEONGCHANG: Seorang anggota kanan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menyarankan pasukan hoki wanita gabungan Korea Selatan dan Korea Utara dicalonkan untuk memenangi Hadiah Nobel Keamanan, semalam.

Pemenang empat kali pingat emas hoki Piala Dunia dan juara Sukan Olimpik, Angela Ruggiero, berkata beliau akan menyarankan pihak lain untuk turut sama mencalonkan pasukan itu yang dianggotai 12 pemain dari Korea Utara.

Ini ialah kali pertama kedua-dua negara yang masih berperang itu bekerjasama dalam satu pasukan untuk bertanding di temasya Olimpik.

"Saya sangat mengharapkan pasukan berkenaan akan memenangi Hadiah Nobel Keamanan.

"Pasukan ini mencerminkan pengorbanan yang dilakukan oleh semua pemain bagi menyesuaikan diri dan memahami satu sama lain demi satu temasya," katanya.

Kewujudan pasukan itu dicadangkan oleh Korea Selatan yang mahu menjadikan sukan berprestij itu sebagai usaha mendekatkan diri dengan Korea Utara, sekali gus membuka jalan rundingan berhubung program nuklear negara terbabit.

Ketika ini, Korea Utara berdepan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat, yang mendesak menekan negara itu menghentikan pembangunan program nuklear serta peluru berpandu balistik. - Reuters

928 dibaca
Berita Harian X