Khamis, 8 Februari 2018 | 9:11pm
ABDULLA Yameen. - Foto REUTERS

Maldives hantar wakil ke China, Arab Saudi jelas situasi terkini

MALE: Presiden Maldives yang bermasalah menghantar wakil ke negara penyokong seperti China, Pakistan dan Arab Saudi untuk memberi penerangan berkaitan krisis politik yang melanda negara Lautan Hindi itu sehingga memaksa pengisytiharan darurat dibuat.

Pejabat Presiden berkata, Abdulla Yameen bagaimanapun bertindak mengetepikan negara utama serantau India, yang mana bersama Amerika Syarikat (AS), Britain dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mengecam pengisytiharan darurat dan penahanan hakim atasan yang menjurus ketidakstabilan di negara itu.

Maldives, terkenal dengan pusat pelancongan mewah, menjadi satu lagi medan perebutan buat India dan China selepas ia menandatangani inisiatif Satu Jalur Satu Jalan Beijing untuk membina rangkaian pengangkutan dan perdagangan merentasi Asia.

India, sekian lama memiliki hubungan politik dan keselamatan dengan negara kepulauan sejauh 400 kilometer dari negaranya, sebelum ini berusaha menyekat China daripada meluaskan kehadirannya di negara dengan 400,000 penduduk itu, majoritinya beragama Islam Sunnah.

Sejak krisis politik itu meletus, pemimpin ketua pembangkang Maldives mendesak New Delhi campur tangan.

Yameen menghantar Menteri Pembangunan Ekonomi, Mohamed Saeed ke China, Menteri Luar Mohamed Asim ke Pakistan serta Menteri Perladangan dan Perikanan, Mohamed Shainee ke Arab Saudi, menurut tulisan di laman webnya lewat semalam.

"Atas arahan Presiden Abdulla Yameen Abdul Gayoom, anggota Kabinet akan melawat negara penyokong Maldives dan memberi taklimat berkaitan situasi terkini," katanya.

Kerajaan mahu menghantar wakil khas ke India, namun tarikh itu tidak sesuai untuk Kementerian Luarnya, kata Ahmed Mohamed, Duta Maldives ke India. -Reuters

400 dibaca
Berita Harian X