Selasa, 6 Februari 2018 | 11:44am

Ketua Hakim Maldives ditahan

MALE (MALDIVES) : Ketua Hakim Maldives, Abdulla Saeeda dan seorang lagi Hakim Mahkamah Agung, Ali Hameed ditahan awal pagi tadi, beberapa jam selepas Presiden Abdulla Yameen mengisytiharkan darurat.

Kedua-dua hakim berkenaan ditahan bersama pentadbir tertinggi mahkamah, Hassan Saeed selepas pasukan keselamatan menyerbu perkarangan kompleks mahkamah berkenaan.

Tangkapan berprofil tinggi itu berlaku selepas penahanan bekas Presiden, Maumoon Abdul Gayoom, semalam.

Pengisytiharan darurat selama 15 hari berkenaan dibuat susulan pertelingkahan antara Yameen dan Mahkamah Agung yang memerintahkan pembebasan sembilan banduan politik.

Mahkamah Agung turut memerintahkan jawatan 12 pembuat dasar yang dipecat kerana beralih sokongan kepada pembangkang dikembalikan semula.

Keputusan berkenaan sekali gus memberikan kelebihan kepada pembangkang untuk muncul sebagai kuasa majoriti dalam parlimen 85 kerusi itu.

Sumber terdekat memberitahu, Gayoom ditahan bersama menantu lelakinya, selepas dipercayai terbabit menggerakkan cubaan rampasan kuasa. - AFP

1145 dibaca
Berita Harian X