Khamis, 11 Januari 2018 | 11:52pm

6 gempa bumi sederhana gegar Iran, 5 cedera

TEHRAN: Enam gempa bumi sederhana berlaku di Iran hari ini, menyebabkan lima cedera ringan, lapor agensi berita ISNA, hampir dua bulan selepas gempa bumi kuat meragut lebih 600 nyawa.

Pusat seismologi Iran melaporkan, gempa magnitud 5.1 direkodkan di wilayah selatan Kerman jam 6.48 pagi waktu tempatan dan lima lagi dengan magnitud antara 5.0 dan 5.6 melanda wilayah barat Kermanshah berhampiran sempadan dengan Iraq.

Pusat gempa masing-masing berada di Hedjak, terletak 770 kilometer di tenggara ibu kota ini dan Sumar, sejauh 570 kilometer di barat ibu kota ini.

Gempa berlaku pada kedalaman antara lapan dan 12 kilometer.

ISNA berkata, lima mangsa cedera di wilayah Kermanshah dan televisyen tempatan melaporkan tiada kerosakan teruk berlaku.

Koresponden AFP berkata, gempa turut dirasai di seluruh Iraq dan Kurdistan bersempadan Iran.

Gempa magnitud 7.3 pada 12 November lalu meragut 620 nyawa di Kermanshah manakala lapan di Iraq. -AFP

78 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »