Khamis, 14 September 2017 | 7:27am
DONALD Trump. - Foto AFP
KOREA Utara bertekad menggandakan usaha sebagai membantah sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto Reuters

Korea Utara ganda usaha atasi sekatan PBB

SEOUL: Korea Utara bertekad menggandakan usaha sebagai membantah sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang ancaman 'penjajahan' Amerika Syarikat (AS).

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, sekatan itu dipersetujui sebulat suara oleh 15 ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) tetapi dianggap langkah kecil berbanding apa yang diperlukan untuk membendung program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang.

Kementerian Luar Korea Utara berkata, beberapa sekatan baharu itu melanggar haknya untuk mempertahankan diri dan bertujuan menyekat negara serta rakyatnya menerusi sekatan ekonomi pada skala penuh.

"Korea Utara akan menggandakan usaha meningkatkan kekuatan untuk menjaga kedaulatan, keamanan dan keselamatan serantau dengan memastikan keseimbangan kuasa dengan Amerika Syarikat," kata negara itu menerusi kenyataan yang diterbitkan media rasminya KNCA.

Majlis keselamatan mencapai kata sepakat untuk mengetatkan sekatan ke atas Korea Utara dengan menyekat eksport tekstil, mengehadkan bekalan minyak dan mengharamkan usaha sama perdagangan dengan Pyongyang.

Resolusi PBB itu dicetuskan akibat ujian bom nuklear Korea Utara dengan penganalisis menganggap ia bom hidrogen.

Menurut projek di Washington, 38 North yang memantau Korea Utara, kerosakan pada kawasan pergunungan di tapak ujian Punggye-ri jelas kelihatan pada imej satelit dan ia lebih teruk berbanding lima ujian bom nuklear negara itu sebelum ini.

Katanya, terdapat juga kegiatan di lokasi lain iaitu Gunung Mantap dengan banyak kenderaan besar dan peralatan perlombongan yang memberi andaian tempat itu mungkin menjadi tapak ujian bom nuklear akan datang. - Reuters

3893 dibaca
Berita Harian X