Rabu, 13 September 2017 | 10:16pm
Jurucakap kerajaan Myanmar, Zaw Htay semasa taklimat mengenai Perhimpunan Agung PBB di rumah presiden di Naypyitaw, Myanmar. - Foto EPA

Suu Kyi akan tangani krisis minggu depan

YANGON: Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi akan menangani krisis yang melanda negara Rakhine menerusi ucapan pertama beliau minggu depan.

Keputusan itu dibuat selepas ribuan terbunuh dalam keganasan yang mengakibatkan hampir 380,000 etnik Rohingya Islam melarikan diri ke Bangladesh sekali gus mencalar reputasinya sebagai pembela mereka yang ditindas.

Tindakan tegas tentera Myanmar sebagai tindak balas terhadap serangan oleh militan Rohingya pada 25 Ogos lalu, memaksa sejumlah besar pelarian dari minoriti Muslim tanpa negara itu menyeberangi sempadan.

Keganasan itu turut mencetus krisis kemanusiaan di kedua-dua belah sempadan dan tekanan global yang kuat terhadap Suu Kyi yang dikutuk kerana kempen tenteranya, digambarkan PBB sebagai mempunyai semua ciri 'pembersihan etnik'.

Pada sidang akhbar hari ini, jurucakap kerajaan, Zaw Htay berkata, Suu Kyi akan 'bercakap untuk perdamaian dan kedamaian nasional' secara langsung di televisyen pada 19 September.

Beliau berkata, pemenang Nobel yang dikecam kumpulan hak kerana gagal menjadi suara kepada minoriti Rohingya, tidak akan hadir ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu minggu depan untuk menangani krisis yang berlaku di tanah airnya.

Beliau diperlukan di Myanmar untuk 'menguruskan bantuan kemanusiaan' dan 'kebimbangan keselamatan' yang disebabkan oleh keganasan.

Suu Kyi dikutuk kerana kurangnya kepimpinan moral dan belas kasihan dalam menghadapi krisis yang mengejutkan masyarakat antarabangsa.

Bangladesh kini sedang berjuang untuk menyalurkan bantuan kepada pelarian yang keletihan dan kelaparan.

Kira-kira 60 peratus daripada mereka adalah kanak-kanak sementara hampir 30,000 lagi adalah etnik Rakhine Buddha serta Hindu yang turut melarikan diri ke Myanmar. - AFP

1107 dibaca
Berita Harian X