Ahad, 13 Ogos 2017 | 7:19pm
Operasi komando yang dibantu pesawat dan helikopter tempur Russia membunuh 25 anggota Daesh di tengah Syria. - Foto hiasan

Tentera Syria berjaya bunuh 25 militan Daesh

BEIRUT: Operasi komando yang dibantu pesawat dan helikopter tempur Russia membunuh 25 anggota Daesh di tengah Syria, kata badan pemerhati hari ini.

Dibantu Russia, tentera Syria melancarkan serangan selama beberapa bulan untuk menawan kembali sebahagian besar wilayah padang pasir yang memanjang dari tengah negara itu hingga ke sempadan Iraq dan Jordan.

Semalam, 25 anggota Daesh maut dan beberapa lagi cedera dalam operasi komando dilancarkan rejim Syria dengan bantuan udara pesawat dan helikopter tempur Russia di Homs, kata kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).

Enam anggota tentera turut maut, katanya.

Sumber tentera berkata, operasi dilancarkan 20 kilometer dalam wilayah dikuasai Daesh.

Serangan membolehkan tentera rejim mengambil alih kawalan tiga kampung di kawasan itu, kata agensi berita SANA memetik kenyataan sumber.

Tentera merampas sebahagian besar daerah daripada cengkaman Daesh di wilayah itu.

Menurut SOHR, Daesh kini cuma menguasai beberapa puluh kampung di timur Homs. - AFP

Berita Harian X