Sabtu, 12 Ogos 2017 | 7:01am

Militan serang pemberontak

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 23 anggota pemberontak terbunuh, manakala puluhan lagi cedera selepas pengebom nekad meletupkan bom di selatan Syria berhampiran sempadan Jordan.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Syria berkata, pengebom nekad meletupkan bom yang dipasang pada pinggangnya di pangkalan yang sering digunakan oleh Jaish al-Islam, berhampiran sempadan Nasib.

"Sebahagian besar daripada 23 pemberontak yang terbunuh adalah anggota Jaish al-Islam. Puluhan lagi cedera, termasuk 20 yang cedera parah," kata ketua kumpulan pemantau, Rami Abdel Rahman.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab tetapi kumpulan militan yang dikaitkan dengan Daesh dilaporkan melakukan serangan terhadap pemberontak di Syria.

Sempadan Nasib atau dikenali sebagai Jaber di bahagian Jordan, terletak di wilayah Daraa di selatan Syria dan ia dikuasai kumpulan pemberontak pada April 2015. - AFP

Berita Harian X