Sabtu, 12 Ogos 2017 | 12:59am
YISRAEL Kristal. - Foto AFP

Lelaki tertua dunia meninggal pada usia 113 tahun

BAITULMAQDIS: Lelaki tertua dunia yang disahkan tahun lalu oleh Guinness World Records, Yisrael Kristal, meninggal dunia hari ini pada usia 113 tahun, lapor media Israel.

"Yisrael Kristal, meninggal dunia pada Jumaat, sebulan sebelum ulang tahunnya yang ke-114," akhbar harian Haaretz melaporkan dalam edisi dalam talian.

Laman web berita Ynet pula berkata, mendiang Kristal yang juga mangsa terselamat daripada tentera Nazi, meninggalkan dua anak, sembilan cucu dan 32 cicit.

Kristal, berasal dari Zarnow atau kini Poland, lahir pada 15 September 1903, tiga bulan sebelum adik beradik Wright berjaya menerbangkan pesawat.

Guinness World Records mengiktirafnya sebagai lelaki tertua dunia pada Mac 2016.

Selepas Perang Dunia Pertama, Kristal berpindah ke Lodz di mana dia bekerja di kilang manisan keluarga, berkahwin dan memiliki anak.

Namun kehidupannya terjejas apabila kawasan didiami penduduk Yahudi di bandar itu ditawan Nazi Jerman ketika Perang Dunia Kedua dan Kristal dihantar ke kem maut Auschwitz-Birkenau.

Kira-kira 1.1 juta orang, kebanyakannya Yahudi Eropah maut dalam kem terbabit antara 1940 hingga 1945 sebelum ia dibebaskan tentera Soviet.

Isteri dan dua anaknya maut namun Kristal terselamat, ditemui hanya seberat 37 kilogram pada penghujung perang. Dia kemudian berpindah ke Israel, berkahwin semula serta membuka kedai manisan. - AFP

488 dibaca
Berita Harian X