Jumaat, 11 Ogos 2017 | 8:38pm
ASKAR Myanmar. - Foto Reuters

500 askar Myanmar dihantar ke Rakhine

YANGON: Myanmar menghantar kira-kira 500 askar untuk mengawal keselamatan di Rakhine selepas berlaku beberapa siri pembunuhan, kata sumber tentera hari ini.

Dua sumber tentera di Rakhine berkata, anggotanya dihantar ke utara negara itu untuk membantu mengetatkan keselamatan selepas tujuh penganut Buddha mati ditetak di kawasan pergunungan berhampiran Maungdaw minggu lalu.

Menurut tentera, anggotanya dihantar ke beberapa bandar berhampiran sempadan dengan Bangladesh termasuk Buthidaung dan Maungdaw.

"Kami perlu meningkatkan operasi keselamatan kerana keadaan semakin buruk, beberapa umat Islam dan Buddha dibunuh pemberontak," kata Ketua Polis Rakhine, Kolonel Sein Lwin.

Jurucakap tentera dan pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Kebanyakan penduduk Islam Rakhine berdepan keganasan sejak Oktober tahun lalu, susulan tindakan pemberontak Rohingya membunuh sembilan anggota polis.

Tentera kerajaan membalas dengan tindakan keras selain dakwaan merogol, membunuh dan menyeksa etnik Rohingya. -Reuters

Berita Harian X