Jumaat, 11 Ogos 2017 | 10:11am

36 maut bas rempuh tembok di China

SHANGHAI: Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh apabila sebuah bas persiaran melanggar sebuah tembok di dalam sebuah terowong di barat laut China, tengah malam tadi.

Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan, nahas itu berlaku di dalam terowong di lebuh raya Xi'an-Hanzhong, wilayah Shaanxi, sejurus sebelum tengah malam tadi.

Seramai 13 penumpang lagi mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital manakala kerja-kerja menyelamat masih dijalankan.

Bas persiaran itu sedang dalam perjalanan dari bandar Chengdu di barat daya China ke bandar Luoyang di wilayah Henan apabila ia gagal dikawal dan merempuh tembok berkenaan.

China tidak mengeluarkan statistik untuk jumlah keseluruhan kemalangan setiap tahun tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2013 menganggarkan bahawa kira-kira 250,000 penduduk negara itu terbunuh dalam kemalangan.

Beijing sebelum ini berikrar untuk membasmi corak pemanduan berbahaya tetapi peningkatan kepada jumlah pemilikan kenderaan dan kelemahan pada ujian tahap keupayaan pemanduan menyebabkan jumlah kemalangan jalan raya negara itu terus meningkat, khususnya di kawasan pedalaman. - REUTERS

300 dibaca
Berita Harian X