Khamis, 10 Ogos 2017 | 7:52pm

Mahkamah Israel pendekkan hukuman remaja Palestin

BAITULMAQDIS: Mahkamah Agung Israel, hari ini mengurangkan hukuman ke atas remaja Palestin yang menjadi simbol gelombang keganasan Israel-Palestin pada 2015.

Ahmed Manasra, kini 15, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun November lalu selepas didapati bersalah cuba membunuh dua penduduk Israel berusia 20 dan 12 tahun, dalam serangan menggunakan pisau dengan sepupunya di penempatan Yahudi di Baitulmaqdis.

Hukuman dikurangkan kepada sembilan tahun setengah oleh mahkamah, kata peguamnya, Leah Tsemel.

Bagaimanapun, denda sebanyak AS$47,000 (RM201,000) kekal.

"Ia bukan yang terbaik kami mahukan, tetapi ini yang kami dapat," katanya.

Pada awal gelombang keganasan yang bermula pada Oktober 2015, Ahmed Manasra, 13, ketika itu dan sepupunya, Hassan, 15, memasuki penempatan Yahudi di Pisgat Zeev dan menikam dua penduduk. Hassan ditembak mati pasukan keselamatan.

Kes tikaman membawa kepada perang propaganda antara penduduk Palestin dan Israel, dicetuskan rakaman yang disiarkan mengenai kejadian itu.

Rakaman Ahmed berlumuran darah, yang dilanggar kereta ketika melarikan diri, dengan penduduk Yahudi memaki hamun beliau selepas serangan menaikkan kemarahan dalam kalangan penduduk Palestin. - AFP

Berita Harian X