Khamis, 10 Ogos 2017 | 2:12pm
SIARAN televisyen memaparkan berita laporan Korea Utara di sebuah stesen di Seoul, Korea Selatan.- Foto EPA

Pyongyang rancang serang Guam

SEOUL/GUAM: Korea Utara menyifatkan amaran Presiden Donald Trump bahawa negara itu akan berdepan kesan buruk jika mengancam Amerika Syarikat, sebagai 'mengarut' dan memperincikan rancangan serangan peluru berpandu ke atas Guam di Pasifik.

Kemajuan pantas Korea Utara dalam membangunkan senjata nuklear dan peluru berpandu yang mampu sampai ke tanah besar Amerika mencetuskan perang mulut di antara Washington dan Pyongyang minggu ini, sehingga membimbangkan kuasa serantau serta pelabur di seluruh dunia.

Kenyataan luar biasa Trump mendorong Korea Utara mendedahkan rancangan untuk melancarkan empat peluru berpandu jarak sederhana melalui Jepun dan kemudian dijangka mendarat kira-kira 30 dan 40 kilometer dari Guam.

Guam yang terletak lebih 3,000 kilometer di tenggara Korea Utara, mempunyai 163,000 penduduk dan sebuah pangkalan ketenteraan Amerika Syarikat yang dilengkapi skuadron kapal selam, pangkalan udara dan pengawal pantai.

"Rundingan yang berkesan tidak mungkin dicapai dengan lelaki yang tidak munasabah ini," kata laporan agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA merujuk kepada Trump.

Tentera dijangka melakukan rancangan itu pada pertengahan Ogos, seterusnya menunggu arahan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, lapor KCNA memetik komander strategik angkatan tentera, Jeneral Kim Rak-gyom. - REUTERS

Berita Harian X