Selasa, 1 Ogos 2017 | 6:00pm

Kadar jangkitan pantas HIV di Filipina: PBB

MANILA: Filipina merekodkan penularan wabak HIV/AIDS terpantas di Asia Pasifik, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Kesihatan, Paulyn Ubial, memetik data Program Bersama berkaitan HIV/AIDS PBB (UNAIDS), berkata, menjelang akhir 2016, ada 10,500 rakyat Filipina dijangkiti virus HIV berbanding 4,300 pada 2010.

Ubial menggesa penduduk negara itu melakukan ujian HIV secara sukarela dan menggunakan kondom untuk mengelak dijangkiti.

Mei lalu, sebanyak 1,098 kes jangkitan baharu HIV direkodkan di Filipina, jumlah jangkitan tertinggi direkodkan sejak kali pertama dilaporkan pada 1984.

Pengarah pasukan sokongan serantau UNAIDS Asia Pasifik, Eamonn Murphy berkata, Filipina masih boleh menghentikan ancaman kesihatan awam terbabit menjelang 2030, jika kerajaan memberi tumpuan terhadap penduduk dan lokasi paling berisiko.

Katanya, 83 peratus kes baharu HIV berlaku di kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis serta antara transgender wanita dan lelaki.

Ketua jabatan pemantauan kesihatan awam Kementerian Kesihatan, Genesis Samonte berkata, lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis paling berisiko.

"Kita bukan bercakap mengenai golongan yang secara terbuka mengaku gay.

"Mana-mana lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis secara suka-suka juga berisiko," katanya. - Reuters

381 dibaca
Berita Harian X