Khamis, 20 Julai 2017 | 7:22am
NUMAN Kurtulmus.

Gugur 13 tuntutan terhadap Qatar - TPM Turki

DOHA: Timbalan Perdana Menteri Turki menggesa Arab Saudi dan tiga lagi negara di Teluk menggugurkan 13 tuntutan terhadap Qatar, kerana tindakan itu dianggap melanggar kedaulatan negara itu.

Numan Kurtulmus ketika ditemuramah rangkaian al-Jazeera turut memberi amaran kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan berkata, tindakan itu bakal menghasilkan konflik dan akibatnya sukar diramal.

Turki memihak kepada Qatar dalam krisis yang bermula sejak bulan lalu ketika Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir mengenakan sekatan ke atas Doha.

Keempat-empat negara itu menuduh Doha menyokong keganasan dan mendesak Qatar supaya akur dengan 13 tuntutan, termasuk menutup rangkaian televisyen al-Jazeera dan pangkalan tentera Turki.

Tuduhan itu dinafikan Qatar dan menolak semua tuntutan terbabit dengan mengatakan kesediaannya untuk duduk berbincang.

"Presiden akan mendengar penjelasan semua pihak tetapi Arab Saudi perlu menghentikan tekanan, termasuk menimbangkan kembali 13 tuntutan itu," kata Kurtulmus.

Katanya, Qatar pula perlu berpendirian positif untuk membuka jalan rundingan dan Turki sedia bertindak selaku pengantara.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan bakal mengadakan lawatan ke Arab Saudi, Kuwait dan Qatar pada 23 hingga 24 Julai ini sebagai usaha untuk menyelesaikan krisis itu. - Reuters

2303 dibaca
Berita Harian X