Selasa, 18 Julai 2017 | 12:58am
PENDUDUK Islam tidak memasuki kawasan suci Baitulmuqaddis dan mengadakan bantahan di luar selepas pihak berkuasa Israel memasang alat pengesan logam di pintu masuk. - Foto AFP

Penduduk Islam bantah pengesan logam di Haram al-Sharif

BAITULMAQDIS: Penduduk Islam tidak memasuki kawasan suci Baitulmuqaddis dan mengadakan bantahan di luar selepas pihak berkuasa Israel memasang alat pengesan logam di pintu masuk kawasan amat sensitif itu.

Ia berikutan satu serangan yang menyebabkan dua anggota polis terbunuh.

Kawasan berkenaan lengang hari ini selain kunjungan pelancong dan pelawat Yahudi, dengan penduduk Islam sekali lagi bersolat dan melakukan tunjuk perasaan di luar tanpa mahu melalui alat pengesan logam.

Perkarangan Haram al-Sharif, dikenali oleh Yahudi sebagai Temple Mount, menempatkan Kubah Batu dan Masjid Al Aqsa.

Beratus-ratus penduduk Islam dilihat bersolat di luar dua pintu masuk ke kawasan itu.

Bantahan tercetus selepas solat, dengan orang ramai menjerit: "Masjid Aqsa, kami mengorbankan jiwa dan darah kami."

Polis kemudian cuba menyuraikan mereka.

"Kami tidak akan memecahkan perpaduan kami," kata Jamal Abdallah, rakyat Palestin yang kini menetap di Arizona dan merancang melawat Al-Aqsa tetapi mengubah fikiran selepas diberitahu situasi di situ.

Israel memasang alat pengesan logam selepas serangan Jumaat lalu berhampiran kawasan suci yang menyaksikan tiga penduduk Arab Israel menembak polis rejim Zionis.

Mereka kemudian melarikan diri tetapi ditembak mati oleh pasukan keselamatan. - AFP

Berita Harian X