Isnin, 17 Julai 2017 | 8:08pm

Qatar tuduh UAE ceroboh portal kerajaan, media sosial


Gambar yang disediakan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menunjukkan Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson (tengah) bertemu dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani (kanan) di Istana Laut di Doha, Qatar, pada 13 Julai 2017. - Foto EPA

WASHINGTON: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendalangi usaha menggodam media sosial dan laman berita kerajaan Qatar lewat Mei lalu.

Tindakan itu sebagai usaha menyiarkan kenyataan palsu yang dikaitkan dengan Emir negara itu, yang mencetuskan krisis diplomatik.

Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad al-Thani, dipetik Mei lalu sebagai memuji pertubuhan Hamas dan berkata Iran adalah 'kuasa Islam', lapor akhbar Washington Post yang memetik kenyataan pegawai perisik Amerika Syarikat.

Sebagai reaksi kepada kenyataan itu, Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan dengan Qatar pada 5 Jun lalu, menuduh ia menyokong keganasan.

Qatar, lewat Mei lalu berkata penggodam menyiarkan kenyataan palsu itu, penjelasan yang ditolak negara Teluk.

Washington Post melaporkan pegawai perisikan AS memperoleh maklumat analisis terbaru minggu lalu yang menunjukkan pegawai atasan UAE membincangkan pencerobohan komputer itu pada 23 Mei, sehari sebelum ia dilakukan.

Pegawai berkata, tidak dapat dipastikan sama ada UAE menggodam laman web atau membayar supaya ia dilakukan, lapor akhbar itu tanpa mendedahkan nama pegawai perisik berkenaan.

Bagaimanapun, laporan itu dinafikan Duta UAE, Yousef al-Otaiba, menyifatkan ia berita palsu.

"Apa yang benar adalah tindak tanduk Qatar. Membiayai, menyokong dan pemberontakan militan Taliban hingga Hamas dan Qaddafi.

"Menghasut keganasan, menggalakkan tindakan radikal dan merendahkan kestabilan jirannya, " menurut kenyataan.

Reuters

396 dibaca
Berita Harian X