Jumaat, 12 Oktober 2018 | 1:05am

Malaysia bebaskan tahanan Uighur

KUALA LUMPUR: Malaysia membebaskan 11 etnik Uighur Muslim yang melarikan diri ke negara ini, selepas berjaya meloloskan diri dari penjara Thailand, tahun lalu dan menghantar mereka ke Turki, kata peguam mereka, semalam.

Keputusan itu bertentangan dengan permohonan China supaya mereka dihantar ke Beijing.

Tindakan itu dilihat bakal mengeruhkan hubungan dengan China yang sebelum ini teruji, selepas Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri, susulan kemenangan mengejut dalam pilihan raya umum, Mei lalu.

Kerajaan beliau membatalkan projek yang diberikan kepada syarikat China berjumlah lebih AS$20 bilion (RM83.17 bilion).

Pendakwa raya menggugurkan tuduhan terhadap semua etnik Uighur itu atas dasar kemanusiaan dan mereka tiba di Turki, selepas diterbangkan keluar dari Kuala Lumpur, Selasa lalu, katanya peguam mereka, Fahmi Moin.

“Tuduhan mereka digugurkan kerana Pejabat Peguam Negara bersetuju dengan rayuan kami,” katanya.

Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Peguam Negara tidak memberikan kenyataan, ketika diminta mengulas mengenainya.

Kementerian Luar China juga tidak menjawab permintaan untuk ulasan. - Reuters

1998 dibaca
Berita Harian X