Rabu, 10 Oktober 2018 | 3:30pm
Anak lelaki bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, Panthongtae Shinawatra. - Foto nationmultimedia.com

Anak lelaki Thaksin didakwa terbabit kes pengubahan wang haram

BANGKOK: Anak lelaki bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra tiba di pejabat peguam negara di sini, bagi berdepan dakwaan pengubahan wang haram, tindakan yang dianggap bermotifkan politik oleh penyokongnya.

Penyokong keluarga Shinawatra, yang kebanyakannya penduduk luar bandar dan golongan miskin menuduh kerajaan tentera yang mengambil alih pentadbiran negara pada 2014, cuba menyekat sokongan ke atas mereka menjelang pilihan raya yang dijadualkan tahun depan.

Bagaimanapun, kerajaan tentera menolak tuduhan berkenaan.

Hari ini, Panthongtae Shinawatra, 38, yang turut dikenali sebagai ‘Oak’ dengan ditemani kedua-dua adik perempuannya serta beberapa anggota kanan, Parti Puea Thai, dilaporkan tiba di pejabat peguam negara, bagi berdepan dakwaan berkenaan.

Dua lagi anak perempuan Thaksin, adalah Pintongtha Kunakornwong dan Peathongtarn Shinawatra.

“Panthongtae Shinawatra akan didakwa atas tuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram dan konspirasi wang haram sebanyak 10 juta baht (RM1.25 juta),” kata peguam negara dalam satu kenyataan.

Tahun lalu, pihak berkuasa sudah mendakwa Panthongtae kerana menerima cek bernilai 10 juta baht (RM1.25 juta) pada 2004.

Ia membabitkan satu kes rasuah bagi memperoleh pinjaman sebanyak 9.9 bilion baht 9 (RM1.24 bilion) daripada Bank Krungthai ketika bapanya menjadi perdana menteri.

Sementara itu, Panthongtae enggan ditemubual pihak media, malah peguamnya enggan memberikan sebarang komen ketika dihubungi pihak wartawan Reuters.

“Saya percaya Oak tidak tahu bahawa wang yang diterimanya diperoleh menggunakan cara yang salah,” kata seorang ahli Parti Puea Thai, Watana Muangsook kepada wartawan.

Jika sabit kesalahan, Panthongtae bakal hukuman penjara sehingga 10 tahun. - Reuters

289 dibaca
Berita Harian X