Rabu, 10 Oktober 2018 | 7:42am
EMPAT pegawai imigresen di sebuah lapangan terbang sibuk di ibu kota Thailand dipecat selepas siasatan mendapati, mereka mengambil rasuah. - Foto AFP

4 pegawai imigresen Thailand dipecat gara-gara tip

BANGKOK: Empat pegawai imigresen di sebuah lapangan terbang sibuk di ibu kota Thailand di sini dipecat selepas siasatan mendapati, mereka mengambil rasuah daripada pelancong China untuk mempercepatkan permohonan visa, kata seorang pegawai semalam.

Rakyat China mencatat suku daripada ketibaan 35 juta pelancong Thailand setahun, menjadikan mereka blok terbesar pelawat ke negara itu mengikut kerakyatan.

Mereka biasanya menunggu dalam barisan panjang di petak imigresen sibuk di Don Mueang, satu daripada dua lapangan terbang antarabangsa di ibu kota ini dan perlu membayar 2,000 baht (RM249.45) untuk mendapatkan visa ketika tiba.

Namun Ketua Biro Imigresen baharu, Mejar Jeneral Surachate Hakparn, memberitahu AFP, beliau diberi maklumat bagaimana sesetengah mereka tidak perlu beratur panjang.

“Kami menerima dakwaan daripada pelancong, mereka boleh mempercepatkan permohonan visa jika membayar tip sebanyak 300 baht (RM37.74) di laluan pantas. Ini menyebabkan satu siasatan, yang menjurus seorang pegawai mengakui menerima bayaran itu,” kata Surachate.

Katanya, pegawai terbabit bersama tiga pegawai kanan imigresen termasuk seorang superintendan, dipecat ketika siasatan diteruskan.

Dinaikkan pangkat sebagai ketua biro imigresen bulan lalu, Surachate, bekas timbalan ketua polis pelancongan merombak jawatan baharu dengan meminda beberapa perubahan segera dalam jabatannya.

Minggu lalu, papan tanda besar didirikan di lapangan terbang seluruh negara, bertulis dalam tiga bahasa bahawa tiada tip diperlukan untuk melalui imigresen.

“Saya mendengar perkara ini berlaku sejak sekian lama. Kini kami serius menghapuskannya,” katanya.

Penyingkiran empat pegawai imigresen itu susulan satu pergaduhan bulan lalu apabila satu video klip pelancong China dipukul seorang pengawal lapangan terbang muncul. Dua kakitangan kanan lapangan terbang digantung tugas berikutan kejadian itu. -AFP

679 dibaca
Berita Harian X