Selasa, 9 Oktober 2018 | 9:41pm
MUSNAH ... Pemandangan dari udara memperlihatkan sebuah jambatan yang menghubungkan Palu Barat dan Palu Timur musnah akibat bencana tsunami dan gempa bumi bermagnitud 7.5 skala Richer. - Foto BERNAMA
KESAN kemusnahan tsunami jelas kelihatan di lokasi sepanjang pantai Talise.

Amalan puja 'penjaga laut' diteruskan lepas tsunami

PALU: Biarpun dikecam hebat golongan ilmuwan agama dan pelbagai pertubuhan Islam di Sulawesi Tengah sebelum ini, masih ada segelintir masyarakat meneruskan amalan membunuh ayam bagi tujuan pemujaan di pantai Talise di sini.

Amalan yang disifatkan syirik dan berbentuk pemujaan terhadap `penjaga laut’ itu didapati masih berlaku walaupun selepas gempa bumi dan tsunami melanda kota itu pada 28 September lalu.

Akhbar ini Jumaat lalu mendedahkan kekesalan golongan pendakwah dan pusat pengembangan Islam terhadap upacara adat kuno membabitkan pembunuhan kejam haiwan ternakan terutama kambing dan ayam.

Upacara dilakukan pada Festival Palu Nomini sejak tiga tahun lalu itu diketuai dukun lama yang melakukan jampi serapah selain acara tarian beramai-ramai.

Haiwan ternakan itu kemudian dibunuh kejam dengan ditombak hingga mati sebelum bangkai dibuang ke laut bersama pelbagai sajian pemujaan.

Salah seorang penduduk, Ustaz Ehsan Norrahim, 34, berkata, istiadat bercanggah dengan hukum Islam itu masih diteruskan masyarakat susulan penemuan bangkai ratusan ekor ayam sepanjang pantai Talise di sini, tiga hari selepas tsunami berlaku.

Menurutnya, masih ada penduduk Palu tidak percaya bahawa bencana yang menimpa kota Palu sebelum ini adalah bala didatangkan Allah SWT atas perbuatan syirik berkenaan.

“Mereka masih berdegil meneruskan upacara kejam itu sejak awal minggu lalu. Banyak bangkai ayam ditemui disusun di tepi pantai bermula dari Jambatan Ponulele atau Jambatan Kuning sehingga ke Masjid Arkam Bab Al Rahman, Kampung Lele di sini.

“Bangkai ayam yang mati dibunuh dan mempunyai warna bulu yang sama membuktikan amalan syirik itu masih diteruskan walaupun selepas gempa bumi dan tsunami melanda,” katanya.

Menurutnya, acara syirik itu mula dilakukan besar-besaran sejak tiga tahun lalu dengan mendapat restu pihak pemerintah tempatan.

“Bagaimanapun ketika penganjurannya pada tahun pertama 2016 dan 2017, Tuhan datangkan hujan lebat dan angin kencang kepada penduduk kota Palu.

“Malangnya amaran itu tidak diendahkan dan mereka masih meneruskan amalan itu dalam bentuk pesta besar-besaran membabitkan ribuan pengunjung. Acara diadakan pada petang sebelum gempa bumi berlaku sekitar jam 7 petang, 28 Oktober lalu.

“Ramai pengunjung pesta itu turut dihanyutkan ombak tsunami yang turut memusnahkan khemah serta tapak upacara berkenaan,” katanya.

Perbuatan itu turut dikecam pihak Masjid Darunnaim Tatura di sini, yang menyifatkan ia menyimpang dari amalan Islam sebenar.

Ustaz Abdullah Ibnu Hamid berkata, segelintir masyarakat Islam Palu bukan hanya kufur nikmat malah mencampur adukkan amalan khurafat dalam kehidupan.

“Perbuatan membunuh ayam, kambing atau kerbau dengan ditikam menggunakan tombak jelas tindakan tidak berperikemanusiaan dan ingkar dengan arahan Tuhan. Ia jelas satu kezaliman yang perlu dihentikan.

“Perut bumi Palu kini sudah mengamuk apabila Tuhan mula mendatangkan bencana terhadap dosa besar syirik dilakukan. Bertaubatlah segera selagi punya kesempatan,” katanya.

17750 dibaca
Berita Harian X