Selasa, 9 Oktober 2018 | 8:49pm
MALAYSIA menduduki tempat ke-75 daripada 157 negara di dunia. - Foto hiasan

Malaysia ke-2 di ASEAN kurangkan ketidaksamaan sosial

SINGAPURA: Malaysia menduduki tempat ke-75 daripada 157 negara di dunia yang berusaha mengurangkan ketidaksamaan sosial dalam masyarakat, mengatasi beberapa negara di rantau Asia Tenggara termasuk Singapura.

Dalam Indeks Komitmen untuk Mengurangkan Ketidaksamaan 2018 yang disiarkan semalam, Malaysia berada di kedudukan lebih tinggi berbanding Singapura dan Indonesia yang masing-masing di tangga 149 dan 90.

Kajian yang dikeluarkan Oxfam, sebuah badan kebajikan yang menumpukan usaha mengurangkan kemiskinan, meletakkan Denmark di kedudukan teratas dan Nigeria sebagai tercorot.

Jerman dan Finland berada di tangga kedua dan ketiga manakala Jepun pula di kedudukan ke-11, satu-satunya negara Asia berada dalam senarai 15 teratas, lapor portal Today Online.

Paling mengejutkan adalah Singapura yang berada di tangga 86 pada tahun lalu tetapi jatuh hingga menduduki 10 tercorot dan lebih rendah daripada negara-negara membangun yang lain seperti Laos, Vietnam serta Filipina.

Menurut laporan itu, kedudukan Singapura yang rendah berpunca daripada beberapa amalan cukai walaupun ia menaikkan kadar cukai pendapatan individu kaya kepada dua peratus pada 2006, kadar maksimum cukai pendapatan individu masih rendah untuk golongan kaya iaitu pada 22 peratus.

Oxfam juga menyatakan Singapura dan Kepulauan Cayman sebagai wilayah yang menggalakkan korporat serta individu mengelak cukai dengan mengenakan kadar cukai terlalu rendah atau menyediakan syurga percukaian.

Tambah Oxfam, tindakan mengelak membayar cukai oleh korporat dan individu kaya ini merugikan negara membangun hingga mencecah beratus-ratus bilion dolar setahun.

“Secara terang tindakan mengelak cukai oleh golongan kaya dalam masyarakat menjadikan sistem percukaian semakin kurang progresif,” katanya.

Negara yang mengutip kurang cukai korporat dan individu daripada yang sepatutnya menyebabkan kekurangan pendapatan yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ketidaksamaan sosial. - Agensi

146 dibaca
Berita Harian X