Jumaat, 14 September 2018 | 9:17pm
GAMBAR hiasan tentera Thailand. - Foto AP

Thailand mansuh larangan aktiviti politik

BANGKOK: Junta pemerintah Thailand memansuhkan sebahagian larangan terhadap aktiviti politik, termasuk membenarkan parti politik merekrut ahli baru dalam tempoh empat tahun, menjelang pilihan raya umum tahun depan.

Tentera junta melaksanakan pelbagai larangan, bagi menyekat aktiviti politik selepas rampasan kuasa pada 2014, bagi menggulingkan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

Antaranya, melarang perhimpunan awam membabitkan lebih lima orang peserta.

Tentera junta dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi warta diraja hari ini, mengumumkan beberapa ‘kelonggaran’ dalam larangan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, parti politik dibenarkan memilih pemimpin masing-masing, merekrut ahli baharu dan mengadakan mesyuarat, jika berjaya mengumpul sekurang-kurangnya 250 ahli.

Bagaimanapun, aktiviti kempen, termasuk menganjurkan perhimpunan awam, masih dilarang sama sekali.

“Parti politik boleh berhubung dengan ahli mereka menerusi media elektronik, tetapi kaedah komunikasi ini tidak boleh dianggap sebagai satu kempen,” kata kenyataan itu.

Pihak junta dan Suruhanjaya Pilihan Raya akan menentukan sama ada sebarang komunikasi itu ‘menjejaskan ketenteraman awam’ atau sebaliknya.

Tarikh pilihan raya ditangguhkan beberapa kali oleh junta, tetapi dua rang undang-undang yang diluluskan oleh Raja Maha Vajiralongkorn baru-baru ini, berjaya mengenepikan halangan birokrasi bagi mengadakannya.

Pilihan raya Thailand perlu diadakan sebelum Mei depan dan pemimpin kanan tentera menjangkakan ia bakal berlangsung pada 24 Februari depan. - AFP

147 dibaca
Berita Harian X