Jumaat, 14 September 2018 | 8:42pm
PENDUDUK pulau Luzon dilaporkan mengikat bumbung dan tingkap premis mereka, bagi mengelakkan ia diterbangkan angin dengan kelajuan 205 kilometer sejam. - Foto AFP

Filipina pertingkat amaran ketibaan taufan Mongkhut

TUGUEGARAO: Kerajaan Filipina mempertingkat amaran menjelang ketibaan taufan Mongkhut hari ini, yang dijangka menyebabkan kerosakan teruk, terutama di kawasan pesisiran pantai utara negara itu.

Taufan Mongkhut dijangka tiba di Filipina pada awal pagi esok dan ia dilaporkan taufan paling kuat pernah melanda negara berkenaan, selain membawa hujan lebat, disusuli dengan angin kencang.

Ribuan penduduk sudah meninggalkan kediaman masing-masing, malah pemilik perniagaan dan penduduk pulau Luzon dilaporkan mengikat bumbung dan tingkap premis mereka, bagi mengelakkan ia diterbangkan angin dengan kelajuan 205 kilometer sejam.

Dalam pada itu, perkhidmatan cuaca Filipina sudah meningkatkan tahap amaran kepada empat, iaitu kedua tertinggi bagi taufan yang membawa angin dengan kelajuan 220 kilometer sejam, bagi wilayah Cagayan dan Isabela.

Kedua-dua wilayah terbabit berada dalam laluan taufan Mangkhut.

“Amat penting bagi rakyat untuk mengetahui bahawa amaran sudah dipertingkatkan kepada tahap empat,” juru kaji cuaca, Loriedin de la Cruz dalam taklimat ringkas yang disiarkan menerusi televisyen.

Amaran tahap empat pernah dikeluarkan ketika taufan Haiyan melanda Filipina pada November 2013, yang mengakibatkan lebih 7,350 penduduk terkorban atau hilang. - AFP

427 dibaca
Berita Harian X