Jumaat, 14 September 2018 | 10:43am

Taufan Mangkhut tunggu masa badai Filipina

MANILA: Taufan kuat semakin mendekati Filipina semalam, memaksa ribuan penduduk berpindah menjelang turunnya hujan lebat dan kedatangan angin kencang yang dijangka melanda pada hujung minggu ini sebelum menuju ke China.

Taufan Mangkhut, yang sudah pun membadai Kepulauan Mariana Utara dan Guam, bergerak laju seluruh Pasifik dengan udara mencecah kelajuan 255 kilometer sejam.

Pihak berkuasa berkata, kira-kira 10 juta penduduk berada dalam laluan taufan berkenaan, tidak termasuk jutaan lagi di pantai China.

Ribuan penduduk mula berpindah di kawasan pantai di pulau Luzon di Filipina, lokasi taufan itu dijangka membadai awal esok.

“Kami amat takut. Mereka berkata taufan ini amat kuat. Kami amat takut untuk terus kekal di sini.

“Pada musim tengkujuh lalu, sebahagian rumah kami musnah. Saya terpaksa membawa cucu saya ke tempat selamat,” kata seorang penduduk, Delaila Pasion.

Banjir, tanah runtuh dan angin kencang dibawa taufan itu menjadi kebimbangan utama ketika pihak berkuasa menyediakan peralatan untuk operasi menyelamat dan bantuan.

Sekolah ditutup dan sebahagian peladang mula menuai jagung dan padi lebih awal bagi mengelakkan ia dirosakkan banjir.

Purata 20 taufan dan ribut melanda Filipina setiap tahun, mengorbankan ratusan penduduk dan jutaan lagi dalam kemiskinan. — AFP

934 dibaca
Berita Harian X