Rabu, 16 Mei 2018 | 6:39pm

Singapura sedia bantu Malaysia siasat 1MDB

SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura sedia membantu siasatan kerajaan Malaysia terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata agensi Kawal selia Kewangan Singapura (MAS) dan Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) negara itu, hari ini.

"Pihak berkuasa Singapura sebelum ini sudah memberi kerjasama bagi mendapatkan permohonan maklumat terdahulu oleh beberapa agensi kerajaan Malaysia berhubung transaksi yang dikaitkan dengan 1MDB.

"Kami sedia untuk memberi bantuan lanjut," kata kedua-dua agensi itu.

Singapura juga sudah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa institusi kewangan dan individu yang melanggar undang-undang negara itu berhubung pengaliran dana 1MDB.

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini berkata beliau akan membuka kembali siasatan terhadap 1MDB dan mengeluarkan laporan audit syarikat itu pada 2006 daripada senarai Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sekurang-kurangnya enam negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland sedang menyiasat dakwaan bahawa sejumlah AS$4.5 bilion (RM17.83 bilion) diambil daripada 1MDB.

Singapura sudah memenjarakan dan menyekat beberapa pegawai perbankan atas sabitan kesalahan dikaitkan dengan 1MDB. - Reuters

6100 dibaca
Berita Harian X