Isnin, 16 April 2018 | 8:44pm
PRESIDEN China, Xi Jinping. - Foto AFP

Korea Utara, China bincang kunjungan Xi ke Pyongyang

TOKYO: China dan Korea Utara mengadakan perbincangan kunjungan Presiden China, Xi Jinping ke Pyongyang, lapor sebuah akhbar Jepun hari ini, ketika pemimpin serantau meningkatkan dialog diplomatik.

Korea Utara menggunakan kedutaannya di Beijing untuk menguruskan jadual kunjungan Xi dengan jabatan antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, lapor Yomiuri Shimbun memetik sumber China dan Korea Utara.

Antara rancangan yang dibincangkan termasuk kunjungan ke Pyongyang pada Jun depan, tidak lama selepas cadangan persidangan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, lapor akhbar harian itu.

"Kami bersedia mengekalkan dan mengukuhkan perhubungan dua hala peringkat tinggi dengan Korea Utara, mengeratkan lagi komunikasi strategik serta memperluaskan pertukaran dan kerjasama untuk manfaat rakyat kedua-dua negara.

"Sebelum ini, Presiden Xi menyatakan beliau bersedia mengekalkan hubungan dengan Pengerusi Jong-Un menerusi kunjungan, wakil khas dan surat-menyurat," kata jurucakap Kementerian Luar di Beijing, Hua Chunying ketika mengulas mengenai laporan itu.

Menurut Yomiuri, China akan membuat keputusan akhir selepas memerhatikan hasil rancangan persidangan AS dan Korea Utara. - AFP

264 dibaca
Berita Harian X