Isnin, 16 April 2018 | 8:41pm

7 maut bangunan runtuh

BANDUNG: Tujuh remaja Indonesia yang sedang berlatih untuk persembahan tarian dan muzik antara yang terbunuh dalam kejadian bangunan runtuh, di Cirebon, kira-kira 220 kilometer dari Jakarta, kata polis, hari ini.

Menurut polis, tujuh mangsa yang terkorban termasuk enam remaja lelaki berusia antara 13 dan 15 tahun dan pengurus pusat seni yang berusia 48 tahun.

Dalam kejadian itu dua remaja perempuan cedera, seorang berada dalam keadaan kritikal.

Ketika kejadian, dinding sebuah gudang bangunan bersebelahan jatuh dan menghempap pusat seni yang menjadi lokasi latihan pelajar sekolah menengah rendah.

Polis sedang menyiasat punca runtuhan itu tetapi penilaian awal polis ia mempunyai kaitan dengan usia bangunan terbabit kerana ia beroperasi sejak 1940.

"Bangunan itu sudah terlalu tua tetapi kami masih perlu bertanya kepada pakar untuk menentukan punca ia runtuh," kata jurucakap polis, Trunoyudo Wisnu Andiko.

Ketiadaan standard pembinaan di Indonesia menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan bangunan di negara itu. - AFP

181 dibaca
Berita Harian X