Sabtu, 14 April 2018 | 9:28am
HAMPIR 700,000 pelarian dari etnik Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh sejak Ogos tahun lalu. - Foto AFP

Myanmar bimbang tindakan pendakwa ICC

YANGON : Kerajaan pimpinan pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi melahirkan kekhuatiran terhadap tindakan pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang memohon kuasa diberikan ke atas mahkamah itu berhubung isu membabitkan pelarian Rohingya di Bangladesh.

Hampir 700,000 pelarian dari etnik Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh sejak Ogos tahun lalu susulan operasi besar-besaran junta tentera di penempatan mereka.

Kesemua pelarian terbabit mendakwa sebahagian besar penduduk di wilayah asal mereka dibunuh beramai-ramai, dibakar dan diperkosa oleh pihak tentera, satu senario yang ditakrifkan oleh Amerika Syarikat serta Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebagai penghapusan etnik.

Myanmar menafikan kesemua tuduhan berkenaan dengan berkata ia hanya satu tindakan yang diambil bagi membendung pemberontakan dalam negara.

Menurut kerajaan negara itu, operasi besar-besaran tentera itu adalah susulan kepada provokasi dilancarkan militan Rohingya ke atas lebih 24 pangkalan tentera dan pos kawalan polis sejak akhir Ogos.

Dalam satu tuntutan secara terbuka Isnin lalu, Pendakwa Fatou Bensuda memohon mahkamah memutuskan jika ia mempunyai kuasa ke atas kes membabitkan pelarian etnik berkenaan.

Keputusan berhubung isu itu akan membuka jalan untuk beliau menyiasat kes terbabit sebagai satu jenayah kemanusiaan kerana Myanmar bukan sebahagian daripada anggota ICC. - Reuters

366 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »