Jumaat, 13 April 2018 | 9:59pm
PEMIMPIN Myanmar, Aung San Suu Kyi. - Foto AFP

Suu Kyi resah langkah pendakwa raya ICC

YANGON: Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, meluahkan kebimbangan serius hari ini berhubung langkah pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menuntut kuasa berhubung dakwaan pengusiran etnik Islam Rohinga dari negara itu ke Bangladesh.

Sejak Ogos lalu, hampir 700,000 penduduk Islam Rohingya melarikan diri daripada kekejaman tentera di Myanmar, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan agensi bantuan.

Pelarian melaporkan jenayah pembunuhan, rogol dan kebakaran khianat pada skala besar.

Amerika Syarikat dan PBB menggambarkan keadaan itu sebagai pembersihan etnik.

Myanmar menafikan hampir semua tuduhan, berkata ia melancarkan operasi antikeganasan sah.

Dalam fail yang didedahkan Isnin lalu, Pendakwa Raya Fatou Bensouda meminta mahkamah menentukan sama ada mempunyai bidang kuasa berhubung pengusiran itu.

Keputusan menyokong akan membuka jalan kepadanya untuk menyiasat dakwaan pengusiran sebagai jenayah kemanusiaan.

"Kerajaan Myanmar meluahkan kebimbangan dengan berita berkenaan permohonan oleh Pendakwa Raya ICC untuk menuntut bidang kuasa berhubung dakwaan pengusiran penduduk Islam Rohingya dari Rakhine," kata pentadbiran negara itu dalam kenyataan.

686 dibaca
Berita Harian X