Isnin, 12 March 2018 | 7:26pm
Agensi Biro Penyelidikan Nasional Filipina mengiringi suspek anggota Abu Sayyaf, Hood Abdullah (baju oren kiri) dan Jimmy Bla (baju oren kanan) pada sidang akhbar di ibu pejabat Biro Penyiasatan Kebangsaan di Manila. - Foto AFP

Filipina tahan suspek militan

MANILA: Polis Filipina menahan suspek militan Islam didakwa membantu mengawal sekumpulan pelancong yang diculik pada 2001, termasuk seorang mubaligh Amerika Syarikat yang kemudiannya dibunuh.

Hood Abdullah dituduh mengawal tebusan termasuk Martin Burnham, yang terbunuh dan isterinya cedera dalam kejadian berbalas tembakan ketika cubaan menyelamat oleh tentera pada Jun 2002.

Abdullah adalah anggota Abu Sayyaf, kumpulan berkaitan al-Qaeda yang dipersalahkan dalam kes pengeboman, penculikan bagi mendapatkan wang tebusan dan memenggal kepala tebusan sejak, kata Setiausaha Kehakiman, Vitaliano Aguirre.

"Burnham, tebusan AS, sentiasa digari dengan Abdullah, terutama ketika bergerak," kata Aguirre kepada wartawan.

Burnham meninggal dunia 13 bulan selepas militan Abu Sayyaf menculik sekumpulan 20 pelancong di pusat peranginan mewah di barat Filipina, termasuk pasangan suami isteri itu dan seorang lagi warga AS, yang kemudian dipenggal.

Militan membawa mangsa ke kubu kuat mereka di Basilan, kata pihak berkuasa.

Walaupun Abdullah tidak terbabit dalam penculikan itu, dia mengawal Burnham apabila beberapa kumpulan tebusan termasuk pasangan mubaligh itu diletakkan dalam satu kawasan tahanan.

Tebusan lain adalah pekerja ladang dan anggota kumpulan agama Jehovah's Witness, dua daripada mereka diselamatkan dan membantu mengenal pasti Abdullah, kata Aguirre. - AFP

421 dibaca
Berita Harian X