Isnin, 12 March 2018 | 3:55pm
- Foto hiasan

Pegawai kanan polis ditahan atur perjudian haram

HANOI: Pihak berkuasa Vietnam menahan seorang pegawai kanan polis yang bertanggungjawab menangani kes pertaruhan haram dalam talian selepas dia dituduh mempunyai kaitan dengan rangkaian perjudian di negara itu.

Pegawai bekas ketua jabatan teknologi di Kementerian Keselamatan Awam (MPS) adalah individu yang paling dikehendaki ketika negara itu bertindak keras terhadap kes rasuah.

Akhbar Tuoi Tre melaporkan, Jeneral Mejar Polis, Nguyen Thanh Hoa, 60, ditahan petang semalam di hospital Hanoi ketika menjalani rawatan.

MPS dalam satu kenyataan berkata, Thanh Hoa disiasat kerana mengatur perjudian di utara wilayah Phu Tho.

Pada masa sama, Presiden Vietnam, Tran Dai Quang turut melucutkan gelaran polis Thanh Hoa.

Laman web kerajaan mendedahkan, polis dipercayai terbabit dalam rangkaian perjudian di negara itu, membabitkan pertaruhan jutaan dolar seperti yang dilaporkan media tempatan.

Jabatan Thanh Hoa bertanggungjawab menangani aktiviti haram dalam talian termasuk penipuan dan pertaruhan haram.

Vietnam salah sebuah negara paling tinggi kadar rasuahnya di Asia Tenggara berusaha untuk menangani masalah rasuah walaupun pemerhati berpendapat kempen sedia ada tidak berkesan kerana masalah dalaman dan keadaan politik yang tidak stabil. - AFP

780 dibaca
Berita Harian X