Isnin, 12 March 2018 | 1:40pm
FOTO satelit menunjukkan kemudahan tentera di Rakhine. - Foto AFP

Myanmar bina kemudahan tentera di Rakhine: Amnesty

YANGON: Amnesty International (Amnesty) mendakwa tindakan Kerajaan Myanmar memasang kemudahan keselamatan di perkampungan Rohingya yang musnah dalam kebakaran, menimbulkan keraguan mengenai keikhlasan mereka untuk menerima kembali ratusan ribu pelarian.

Hampir 700,000 etnik Rohingya meninggalkan Rakhine menuju ke Bangladesh sejak Myanmar melancarkan serangan balas terhadap pemberontak enam bulan lalu.

Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap tindakan itu sebagai satu pembersihan etnik.

Bagaimanapun, Myanmar menolak dakwaan itu dan berkata ia dilancarkan susulan serangan oleh Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA).

Laporan terbaharu Amnesty yang bertajuk 'Pembinaan Semula Negeri Rakhine', itu turut memaparkan imej satelit dan temuramah yang mendedahkan pembinaan pelbagai infrastruktur ketenteraan mulai awal tahun ini, yang didakwa pengkaji sebagai satu tindakan 'merampas tanah'.

"Terdapat bukti baru seperti yang dilaporkan oleh Amnesty dalam hasil kajian terbaharunya, menunjukkan pihak berkuasa Myanmar membina kemudahan baharu di atas setiap tapak milik penduduk Rohingya.

"Malah, dalam beberapa keadaan kediaman yang masih ada turut dimusnahkan," kata pengarah tindak balas krisis Amnesty, Tirana Hassan kepada AFP.

Walaupun mengakui imej itu tidak menggambarkan keseluruhan keadaan di Rakhine, kumpulan hak asasi itu berkata, struktur bagi kegunaan pasukan keselamatan, landasan untuk helikopter dan jalan raya terbabit dibina di atas tanah serta bangunan milik penduduk Rohingya yang musnah dalam kebakaran.

Berikutan itu, Amnesty mendakwa ia adalah sebahagian daripada pangkalan baru untuk pasukan keselamatan. - AFP

710 dibaca
Berita Harian X