Rabu, 7 March 2018 | 7:56pm
GAMBAR fail, orangutan. - Foto AFP

Video orangutan hisap rokok tular

BANDUNG: Seekor orangutan dirakamkan mengambil puntung rokok yang dicampak ke dalam kandangnya oleh pengunjung zoo dan menghisapnya seolah-olah sudah biasa berbuat demikian.

Imej orangutan Borneo berusia 22 tahun itu, Ozon, di zoo di Bandung, kira-kira 150 kilometer ke tenggara Jakarta, segera menjadi tular.

Ia bukan kali pertama orangutan di zoo dirakamkan merokok di Indonesia, yang mencatatkan rekod buruk melindungi haiwan dan antara kadar merokok tertinggi dunia.

Pada 2012, seekor beruk di sebuah zoo lain menjadi penagih narkotik selepas menghisap rokok, dan perlu dipaksa berhenti daripada ketagihan itu.

Jurucakap zoo Bandung, hari ini berkata kejadian itu amat dikesali dan ia mempunyai kakitangan untuk mengawal kandang mamalia itu.

Namun pegawai bertanggungjawab mungkin berada di bilik air ketika itu, tambahnya.

"Sebenarnya ada papan tanda di lokasi yang menyatakan pengunjung tidak dibenarkan memberi makanan dan rokok kepada haiwan," kata jurucakap berkenaan, Sulhan.

Aktivis hak asasi mengutuk tindakan pelawat tetapi berkata ia menggariskan persekitaran zoo di Indonesia yang teruk. - AFP

889 dibaca
Berita Harian X