Isnin, 12 Februari 2018 | 2:30pm
TUJUH warga asing yang ditahan atas dakwaan terbabit dalam aktiviti pornografi selepas menyertai parti liar di bandar pelancongan Siem Reap. - Foto AFP

Pornografi: Kemboja usir 7 rakyat asing

PHNOM PENH: Tujuh daripada 10 warga asing yang ditahan atas dakwaan terbabit dalam aktiviti pornografi selepas menyertai parti liar di bandar pelancongan Siem Reap sudah diusir.

Perkara itu didedahkan oleh seorang pegawai mahkamah hari ini.

Polis mendakwa kumpulan itu 'menyanyi dan menari sambil berkelakuan lucah' selepas mereka ditahan dua minggu lalu ketika menghadiri parti di sebuah villa persendirian di Siem Reap.

Mahkamah di Siem Reap turut mendakwa mereka menghasilkan gambar dan bahan pornografi.

Selain itu, seorang pendakwa raya berkata, penganjur parti terbabit mengedarkan imej lucah dalam talian bagi mempromosi acara berkenaan.

Mereka yang ditahan adalah lima rakyat Britain, dua warga Kanada, masing-masing seorang rakyat Norway, New Zealand dan Belanda bakal berdepan hukuman penjara setahun jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, peguam bela, Ouch Sopheaktra mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu dan tujuh daripada mereka dibebaskan dengan jaminan atas alasan tidak menganjurkan parti itu.

Menurut Ouch, semua tujuh warga asing itu sudah meninggalkan Kemboja dan beliau tidak bercadang untuk merayu bagi pihak tiga lagi individu yang ditahan, iaitu masing-masing seorang warga Britain, Belanda dan Norway. - AFP

2180 dibaca
Berita Harian X