Ahad, 11 Februari 2018 | 1:26pm
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP

Duterte ancam tutup Boracay

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengancam untuk menutup pulau peranginan popular Boracay kerana keadaan perairan pulau itu terlalu kotor akibat masalah pembetungan.

Duterte memberi tempoh selama enam bulan kepada Setiausaha Alam Sekitar negara itu, Roy Cimatu supaya pihak berkuasa menyelesaikan masalah terbabit dan memberi amaran bahawa beliau tidak teragak-agak menutupnya demi kesihatan dan keselamatan jutaan pelancong yang mengunjunginya.

"Saya akan menutup Boracay. Ia sudah menjadi penakung najis. Airnya terlalu busuk. Bau apa? Najis. Semuanya dari Boracay," katanya ketika forum perniagaan di kediamannya di Davao.

Pegawai jabatan pelancongan mengakui pandangan Duterte mengetengahkan masalah pembetungan semakin teruk di pulau yang terkenal dengan pasir putih dan air jernih itu.

"Boracay kerap dipuji majalah percutian berprestij sebagai antara pulau terindah di dunia, ia mungkin hilang statusnya sebagai syurga pelancong jika pencemaran perairannya berterusan," kata Setiausaha Pelancongan Wanda Teo dalam satu kenyataan.

Sementara itu, jurucakap jabatan Ricky Alegre berkata beberapa premis melepaskan sisa kumbahan terus ke laut dan ada premis mengalihkan saluran kumbahan secara haram.

"Daripada 150 premis perniagaan yang diperiksa pihak berkuasa kebelakangan ini, hanya 25 sahaja mempunyai saluran kumbahan mengikut spesifikasi," katanya.

Selain itu, banyak premis dibina terlalu hampir dengan kawasan pantai malah ada yang menceroboh rizab jalan di sekitar pulau seluas 1,000 hektar itu. - AFP

904 dibaca
Berita Harian X