Sabtu, 13 Januari 2018 | 4:13pm
ETNIK Rohingya di penempatan Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto Reuters

10 mayat dijumpai adalah penduduk awam

YANGON: Pemberontak etnik Rohingya berkata sebanyak 10 mayat dipercayai penduduk Islam Rohingya yang dijumpai dalam kubur besar di negeri Rakhine, hujung bulan lalu adalah 'penduduk awam yang tidak bersalah' dan bukan anggota kumpulan mereka.

Pada awalnya, tentera Myanmar berkata anggota keselamatan membunuh 10 'pengganas' etnik Rohingya ketika serangan pemberontak awal September lalu, selepas penduduk perkampungan Buddha memaksa lelaki masuk ke dalam kubur yang sudah digali.

Ia satu pengakuan yang jarang dibuat oleh tentera Myanmar ketika menjalankan operasi di negeri Rakhine.

Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA) didakwa melakukan serbuan terhadap pos keselamatan penghujung Ogos tahun lalu.

ARSA berkata mereka menyambut baik pengakuan terhadap jenayah perang dilakukan oleh 'tentera pengganas Burma'.

"Kami dengan ini mengisytiharkan bahawa 10 orang awam Rohingya yang dijumpai dalam kubur besar di Perkampungan Inn Din adalah tidak bersalah dan ARSA tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan lain," menurut kenyataan ARSA dalam Twitter. - Reuters.

860 dibaca
Berita Harian X